Mulakanlah dengan


Dapatkan TestIslamic di SahabatMusleem.blogspot

Jumaat, 26 Jun 2009

Khutbah Jumaat

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 41 surah ar-Rom :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Kita sebagai umat yang beriman wajib mengakui bahawa setiap bencana yang berlaku di atas muka bumi ini merupakan ujian Allah bagi menguji tahap keimanan umat manusia atau pun pembalasan daripada Allah bagi menimbulkan kesedaran dan pengajaran kepada umat manusia yang selama ini sering melakukan penderhakaan terhadap Allah disamping amaran bagi segelintir manusia yang merosakkan bumi Allah tanpa memikirkan keselamatan orang lain supaya segera menghentikannya. Hari ini dunia sedang bercakap tentang serangan penyakit selsema babi yang membimbangkan sehingga mengganggu industri pelancongan di mana menurut laporan, tempahan menginap di hotel telah mengalami penurunan penempahan sebanyak 10 peratus. Malah, penularan wabak ini turut menghempap kepada sektor makanan dan pengangkutan. Di seluruh dunia, jumlah kes jangkitan selsema babi sehingga kini sudah menjangkiti 53,110 orang di 99 negara dan membunuh 232 nyawa. Manakala dalam negara pula mencatat jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 91 kes iaitu 77 kes import dan 14 kes jangkitan tempatan dengan peningkatan mendadak 400 peratus dalam masa seminggu disamping 4 buah sekolah ditutup. Semua ini mengajar umat manusia untuk mengakui kehebatan dan kekuasaan Allah yang tidak mampu disekat oleh manusia. Malangnya walau pun kes selsema babi semakin meningkat namun industri penternakan babi terus dipertahankan seolah-olah dunia sudah dibeli oleh kapitalis penternak babi tidak sebagaimana menangani masalah selsema burung, lembu gila, penyakit kuku dan mulut yang kebanyakannya diambil tindakan segera dengan membunuh binatang tersebut. Bila manusia lebih rela membela penyakit maka masalah makin parah dan penderitaan makin bertambah. Demi menjaga keuntungan setengah pihak maka rakyat dibiarkan menderita. Oleh itu di dalam berdepan dengan serangan penyakit yang merbahaya ini kita meminta agar kerajaan menghapuskan segala punca penyakit ini disamping kita mesti memperbanyakkan solat hajat dan berdoa agar dihindarkan daripada musibah ini

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Mimbar Jumaat hari ini juga mengajak seluruh umat Islam yang bermaruah untuk sama-sama mengutuk dan mengecam laporan jahat dan biadap yang dikeluarkan oleh International Crisis Group (ICG) yang beribu pejabat di Belgium yang menuduh sekolah pondok telah dijadikan tempat melahirkan pemberontak di Selatan Thai berikutan kumpulan pemisah menggunakan pondok untuk merekrut dan melatih remaja Muslim. Ketika umat Islam dibunuh dengan kejam termasuk ditembak ketika sedang solat berjemaah di dalam masjid, masih ada lagi musuh Islam yang cuba menimbulkan sikap anti-Islam. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, kita mendesak agar pemimpin negara memainkan peranan penting dalam menekan kerajaan Thailand supaya menarik balik 30 ribu tentera di Selatan Thailand disamping menamatkan perintah darurat yang memberikan kuasa kepada pihak tentera untuk menahan penduduk yang majoritinya Islam tanpa sebarang dakwaan. Kita tidak mahu isu saudara seagama dibunuh sesuka hati dibiarkan begitu sahaja sehingga kita berasa kecewa apabila Parlimen menolak untuk membincangkannya baru-baru ini

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah ,

قَالَ الرَّسُوْلُ
لاتَقُوْمَ السَّاعّةُ حَتَّى يَكُوْنَ الوَلَدُ غَيْظًا وَالمَطَرُ قَيْظًا وَيفِيْضَ اللِّئَامِ فَيْضًا وَيَغِيْضَ الكِرَامِ غَيْضًا وَيَجْتَرِئ َالصَّغِيْرُ عَلَى الكَبِيْرِ وَاللَّئِيْمِ عَلَى الكَرِيْمِ - رواه الطبراني فى الأوسط

Maksudnya : Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibubapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik
Kita telah beberapa hari berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang gambaran dunia dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada diri nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang yang terlalu tua iaitu dunia ini terlalu hampir dengan saat kehancurannya yang dipanggil Qiamat. Pelbagai tanda Qiamat samada kecil dan besar telah berlaku di zaman kita ini termasuk cuaca yang begitu panas dan merbahaya di samping masalah sosial dan jenayah yang begitu teruk bermula dalam keluarga, masyarakat kampung sehinggalah negara. Masalah dadah yang semakin runcing sehingga hampir setiap rumah ada yang terlibat dengan jenayah ini sehingga bukan sedikit wang rakyat dihabiskan untuk mengubati penyakit yang telah parah ini. Bila pusat serenti bukan sahaja penuh malah tidak lagi mampu menampung penagih tegar ditambah dengan beberapa rusuhan yang terbaru di mana 500 orang penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor sehingga ada pelatih yang lari dan berapa banyak harta awam musnah. Ini antara gambaran bila manusia kosong hatinya daripada makanan rohani akibat negara diserang dengan hiburan melampau dan kehidupan yang jauh daripada panduan agama. Oleh itu system pendidikan agama bermula daripada keluarga, sekolah, pusat pengajian tinggi dan seterusnya apabila telah bekerja wajib diperkasakan supaya hati rohani rakyat tidak mati. Kita begitu bimbang apabila system pendidikan negara hari ini lebih menekan kepada keduniaan dari segi teori dan praktikal dengan menjadikan pendidikan agama hanya pelengkap jadual sahaja. Akhirnya dari segi kecemerlangan akademik, universiti negara kita jatuh tercorot berbanding Universiti Chulalongkon, Thailand apatah lagi universiti Singapura dan Indonesia. Begitu juga pendidikan peringkat rendah yang turut menjunam prestasinya sehingga hanya tinggi sedikit daripada Papua New Guinea. Ke mana sebenarnya arah tuju pendidikan negara yang nampaknya gagal dari segi dunia apatah lagi agama. Jangan asyik memuja Bahasa Inggeris sehingga gejala liberalisasi beragama, sekularisme yang menimpa umat Islam adalah majoriti daripada kelompok yang pro kepada pendidikan ala Inggeris dan pendidikan berteraskan bahasa berkenaan sedangkan bahasa Melayu telah lama dipakejkan dengan nilai Islam sejajar juga dengan perkembangan tulisan jawi yang menggantikan tulisan Pallava Sanskrit. Berubahlah kepada Islam agar dunia hebat, akhirat dapat.

Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,
Bulan Rejab dijadikan Bulan Sembahyang oleh Kerajaan Kelantan semenjak beberapa tahun yang lepas bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang betapa peri pentingnya solat dalam mencapai kecemerlangan dunia akhirat. Oleh itu betapa pentingnya peranan sistem pendidikan negara dalam melahirkan pelajar sekolah, universiti dan pegawai serta pekerja yang sentiasa menjaga solat 5 waktu. Kita menyokong usaha Kerajaan Kelantan yang berusaha memastikan antara syarat penerimaan bekerja dan kenaikan pangkat menjadikan solat sebagai antara syarat kelayakannya disamping cuba meminda perundangan bagi membolehkan rakyat yang meninggal solat boleh dijatuhkan hukuman berat. Kita juga mendesak agar kerajaan pusat menjadikan program seperti Biro Tatanegara (BTN) untuk melahirkan pegawai dan pekerja yang jaga solat, jauhi rasuah dan amalan buruk yang lain tidak sebagaimana sebelum ini yang diguna untuk memuja pemimpin dan meniup semangat perlkauman sempit yang bertujuan menjaga kedudukan pemimpin. Begitu juga modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mesti dikemaskan dari sudut pengisian agama dan pengambilan hendaklah kepada remaja bermasalah seperti masalah disiplin di sekolah, tinggal solat, rempit dan sebagainya tidak sebagaimana hari ini di mana kadang-kadang pengisian agama diganti dengan tarian dan sebagainya. Jangan biarkan wang negara dibazirkan untuk merosakkan lagi rakyat sebaliknya gunakanlah untuk mengisi rohani rakyat yang gersang daripada agama.
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut :

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 25 Jun 2009

Tuhan Yang Mentadbir Alam Ini


Firman ALLAH (swt) bermaksud "Bertolonglah kamu keatas kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu bertolong keatas perlakuan dosa dan permusuhan"jelas ayat ini mengajak umat islam supaya brsatu padu dalam mencari kebaikan dan meningkatkan ketaqwaan,dalam erti kata kita mestilah melihat kebenaran dan jalan kebenaran itu satu pandangan yang besar dalam kehidupan kita,kerana dalam melayari kehidupan ini satu bentuk panduan yang jelas dan benar itulah yang akan menyelamatkan kita dari terjun ke lembah kehinaan,dengan menjadikan alquran itu sebagai panduan dalam kehidupan kita dan menjadikan kehidupan Nabi Muhammad Solallahu alaihi wasalam itu sebagai ikutan kita,kerana inilah jaminan kebahagian didunia dan akhirat.


Dalam setiap permasalahan pasti ada penyelesaian ,dan penyelesaian itu sudah tersedia oleh Tuhan Rabul Izati ,kerana Dia lah yang menciptakan kita,Alam ini...sudah pastilah Dia amat mengetahui tentang kehidupan kita dan Dia lah yang mentadbir alam ini,kita serahkan diri kita pada hukum nya ,tetapi manusia dengan sikap bongkaknya itu menderhaka,tidakah kita menyedari bahawa penderhakaan kita pada ALLAH membawa ke neraka jahanam,dan tidakkah kita menyedari ketaatan kita padanya membawa kepada syurganya dan keridhaannya,itu satu perkara yang perlu kita sedari kerana inilah hakikat dalam kehidupan kita.

Selasa, 23 Jun 2009

Renungan

10 JENIS ORANG ISLAM YANG KEJAM

Sufyan Atsauri berkata: "Sepuluh macam daripada kekejaman ialah:

1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin.

2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.

3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.

4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

5. Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.

6. Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.

7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.

8. Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.

9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.

10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.


Lima Jenis Racun dan Lima Penawarnya;

1. Dunia itu racun, zuhud itu ubatnya.

2. Harta itu racun, zakat itu ubatnya.

3. Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya.

4. Seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya.

5. Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu ubatnya.



15 Sebab Turunnya Bala Mengapa Manusia Ditimpa Bencana.


Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:

1. Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja.

2. Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).

3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.

4. Apabila suami terlalu mentaati isteri.

5. Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.

6. Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.

7. Apabila kedengaran banyak bunyi bising.

8. Apabila lebih ramai berbicara mengenai hak keduniaan di dalam masjid.

9. Apabila sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.

10. Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya.

11. Apabila arak menjadi minuman biasa.

12. Apabila lelaki memakai sutera.

13. Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.

14. Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.

15. Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu, maka pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (puting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi. Seandainya kita sama-sama merenungi hadis di atas, tidak dapat tidak kita akan menerima hakikat bahawa bencana yang menimpa sesuatu kaum itu adalah berpunca daripada perbuatan mereka sendiri. Oleh itu, kembali kepada yang dituntut oleh Islam, semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia hingga ke akhirat.




10 HADIAH ALLAH DI DUNIA UNTUK ORANG YANG BERTAKWA ”Kehidupan orang-orang yang bertakwa sangat indah dan penuh keberuntungan. Di dunia lagi Allah telah menjanjikan pelbagai 'hadiah', sebagaimana digambarkannya di dalam al Quran:

1) Sentiasa mendapat petunjuk "Mereka itulah (orang-orang bertakwa) yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beruntung" (Al Baqarah: 5)

2) Diberi penyelesaian dari masalah "Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan diberikannya jalan keluar" (At Thalaq: 2)

3) Dipermudah segala urusan "Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya akan segala urusan" (At Thalaq: 4)

4) Mendapat rezeki dari sumber tidak terduga "..dan memberinya (orang bertakwa) rezeki dari sumber yang tidak terduga" (At Thalaq: 3)

5) Dikasihi Allah (dengan itu turut dikasihi malaikat dan manusia) "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang bertakwa" (Ali Imran: 76)

6) Mendapat keberkatan dari langit dan bumi "Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi" (Al Araf: 96)

7) Mendapat keselamatan, pertolongan dan perlidungan dari Allah "Dan kami selamatkan orang-orang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertakwa" (Al Fussilat: 1 "...dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah Allah berserta (menolong dan melindungi) orang-orang yang bertakwa)" (Al Baqarah: 194)

8)Mendapat kemenangan "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan" (Al Naba: 31)

9) Terpelihara dari tipu daya musuh "Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu" (Ali Imran: 120)

10) Diberikan furqan (petunjuk bagi membezakan yang benar dan salah) "Jika kamu bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan kepadamu Furqan. (Al Anfal: 29) "