Mulakanlah dengan


Dapatkan TestIslamic di SahabatMusleem.blogspot

Selasa, 4 Ogos 2009

Kasih Ibubapa

Menghormati Ibubapa


Firman Allah : " Tuhanmu telah memerintahkan kamu supaya jangan kamu menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara keduanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali jangan kamu mengatakan kepada keduanya 'ah' dan jangan kamu membentak mereka dan ucapkanlah mereka dengan ucapan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil," ayat Al Isra' 23-24

Kesimpulannya:

Hak ibubapa disebut selepas hak Allah, menunjukkan betapa besarnya hak ibubapa.
Apabila ibubapa telah tua mereka akan berubah pelakuan dan sensitif. Anak-anak bersabar menerima hal ini.
Ibubapa mestilah dihormati dan disanjungi setiap masa apalagi setelah mereka tua. Anak-anak perlu lebih banyak menurut dan bertolak ansur.
Anak-anak perlu menunjukkan sifat merendah diri, bersopan dan bersedia melaksanakan perintah ibubapa dengan rasa bersyukur kerana Allah memberi mereka peluang untuk berkhidmat kepada ibubapa mereka.
Anak-anak mestilah mengingati bagaimana kasihnya ibubapa ketika memelihara mereka waktu kecil dan membalasnya ketika mereka telah tua dan memohon Allah mengasihani mereka.
Kedudukan Ibu Bapa

Abu Umamah meriwayatkan ada seorang bertanya kepada Rasulullah mengenai hak-hak ibu bapa ke atas anak-anak mereka. Baginda menjawab, "Ibu bapa adalah syurga atau neraka bagi anak-anak nereka." Ibn Majah.

Hadis ini bermaksud sesiapa yang memperkecilkan kepentingan ibu bapa akan mendapat ganjaran yang buruk di akhirat kelak dan begitulah sebaliknya.

Abdullah b Amru meriwayatkan Rasulullah bersabda, "Kesukaan Allah bergantung kepada kesukaan ayah dan ketidaksukaan Allah terletak kepada ketidak sukaan ayah," Tirmizi. Ini bermaksud tidak ada orang yang boleh mendapat keredhaan Allah tanpa menyenagkan hati ibu bapanya. Sesiapa yang menyenangkan hati ibu bapanya akan mendapat keredahaan Allah.

Abdullah b Ma’sud meriwayatkan ia bertanya kepada Rasulullah amalan yang paling disukai oleh Allah. Rasulullah menjawab "Menunaikan solat pada waktunya." Ia menyuruh Rasulullah menerangkan amalan yang kedua. Rasulullah menjawab "Berkelakuan baik terhadap ibu bapa" Abdullah bertanya lagi mengenai amalan ketiga. Rasulullah menjawab "Mengambil bahagian dalam perang jihat kerana Allah." Riwayat Bukhari

Abu Hurairah menasihati sahabatnya agar jangan sekali-kali memanggil ayahnya dengan namanya, jangan berjalan mendahuluinya dan jangan duduk didalam majlis sebelum ayahnya duduk. (Al Adabul Mufrad)

Seorang sahabat bertanya Rasulullah patutkah ia taat kepada ibu bapanya walaupun ibunya bapanya berkelakuan tidak baik kepadanya. Rasulullah bersabda: "Ya, walaupun mereka berlaku tidak baik,".

Tidak baik disini bermaksud perbuatan kasar, tidak adil atau tidak berpatutan di mana anak-anak hendaklah bersabar selagi mereka tidak memerintah melakukan kemungkaran.

Ibn Abbas meriwayatkan Rasulullah bersabda, "Anak-anak yang soleh yang melihat ibu bapa mereka dengan perasaan kasih, Allah akan memberi ganjaran kepada mereka dengan haji yang mabrur". Seorang bertanya lagi, "Ya Rasulullah bagaimana jika seorang anak melihat ibu bapanya seratus kali seperti ini dalam sehari?" Baginda menjawab "Ya, Allah amat besar dan ia tidak alpa,"

Allah berfirman "Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang apa yang harus mereka nafkahkan. Maka jawablah, apa saja yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapa…(Al Baqarah 215)

Perintah Allah ini menunjukkan keutamaan hendaklah diberikan kepada ibu bapa dalam membelanjakan pendapatan.

Amalan yang berfaedah kepada ibu bapa setelah mereka meninggal dunia.

Abu Usaid meriwayatkan ada orang bertanya Rasulullah apakah langkah yang boleh diambil untuk memberi manfaat kepada ibubapanya walaupun mereka telah meninggal dunia. Rasulullah menjawab " Ada empat perkara iaitu:

Mendoakan kesejahteraan dan keampunan bagi mereka
Menunaikan janji mereka dan melaksanakan wasiat mereka
Menghormati dan melayani sahabat karib mereka dengan baik.
Berlaku baik kepada orang yang ada hubungan dengan kita melalui ibu bapa kita (Al Adabul Mufrad)
Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda "Kalau seorang hamba Allah selalu mengengkari ibu bapanya dan sekiranya keduanya telah mati, ia hendaklah meneruskan doanya untuk pengampunan ibu bapanya. Ia hendaklah meneruskan amalan ini sehinggalah Allah menggolongkannya kedalam kumpulan orang soleh."
_________________
Allah sentiasa bersama orang-orang yang berbuat kebajikan.

Tiada ulasan: